July 13th, 2009 by p4cplteh.ppc@smjk.edu.my

Dalam tamadun Rom, pemerintahannya telah bermula dengan sistem beraja dari tahun 753 S.M. lagi. Pada masa itu, Rom diperintah secara mutlak oleh raja-raja berketurunan Etruscan yang bukan berasal daripada kalangan masyarakat Latin tempatan. Pemerintahan secara mutlak oleh raja-raja Etruscan ini tidak disenangi oleh masyarakat Latin. Oleh itu, masyarakat Latin dengan pimpinan golongan bangsawan yang dikenali sebagai patrician telah bangun memberontak. Rom kemudiannya membentuk sebuah republik pada tahun 509S.M..

REPUBLIK– Negara yang ditadbir oleh wakil yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya dan diketuai oleh president.

Dalam sistem republik, tiada pemerintah berkuasa mutlak. Kuasa tertinggi terletak pada 2 orang konsul yang dilantik oleh Dewan Senat untuk sesuatu tempoh. Dengan adanya 2 orang konsul ini, maka, antara mereka tidak ada yang lebih berkuasa. Konsul dibantu oleh Dewan Senat yang diwakili oleh golongan bangsawan bagi membincangkan hal-hal pentadbiran negara merangka perundangan. Kebiasaannya, sebelum seseorang ahli Dewan Senat dilantik sebagai konsul, beliau ialah praeotor, iaitu pemerintah tentera. Di bawah Dewan Senat pula ialah Dewan Perhimpunan yang diwakili oleh semua rakyat Rom. Segala keputusan Dewan Senat akan disampaikan kepada Dewan Perhimpunan untuk diluluskan.

Sistem republik di Rom ini telah berubah apabila Rom mencapai taraf empayar di bawah pemerintahan Julius Caesar Perubahan ini berlaku setelah beliau dapat meluaskan kuasanya ke Macedonia, Yunani, Syam, Mesir, Perancis, Brittania(Britain), dan beberapa kawasan di Jerman. Pemerintahan bercorak empayar telah menunjukkan peningkatan dengan terbentuknya sistem pentadbiran berpusat, iaitu kesan penyatuan wilayah-wilayah kecil yang ditaklukinya. Julius Caesar telah menamatkan sistem republik dan menjadi diktator. Beliau mengusai angkatan tentera dan Senat serta menggunakan gelaran Maharaja.

julius-caesar.jpg JULIUS CAESAR- Beliau lahir pada tahun100S.M. dan terkenal sebagai ketua tentera yang agung kerana kejayaan beliau dalam beberapa peperangan. Pada tahun 62S.M., beliau telah dilantik menjadi praeotor dan pada tahun 59 S.M., beliau menjadi konsul pula. Beliau berjaya mengisytiharkan dirinya sebagai diktator setelah mengalahkan Jeneral Pompey. Namun, beliau telah dibunuh pada tahun 44 S.M. oleh penyokong Jeneral Pompey.

Gelaran maharaja ini telah diteruskan oleh Augustus yang memerintah dari tahun 27-14 S.M.. Walaupun memerintah sebagai maharaja, namun, beliau berjaya membawa keamanan dan keagungan kepada empayar Rom. Keamanan yang wujud pada zaman Augustus kekal selama 200 tahun. Zaman kegemilangan ini digelar sebagai Pax Romana(Keamanan Rom). Augustus dapat membawa keamanan dan kesejahteraan kepada empayarnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam tiga buah benua, iaitu Asia, Afrika dan Eropah.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.